LATAR BELAKANG

Taman Anjung Bemban Maju merupakan sebuah perumahan kos sederhana yang terletak dalam mukim Sungai Terap kira-kira 7.0 km perjalanan ke Bandar Batu Gajah dan pekan terdekatnya adalah pekan Pusing kira-kira 2.0 km. Majoriti pemilik rumah ada daripada kaum Melayu yang beragama islam.

Masjid yang berhampiran dengan Anjung Bemban Maju adalah Masjid Siputeh yang terletak kira-kira 3.0 km dan Masjid Hasni yang terletak berhampiran dengan Pekan Pusing iaitu jaraknya kira-kira 3.5 km. Manakala surau terdekat adalah surau Al-Ittifaqiyyah yang terletak di perumahan Bemban Raya jaraknya kira-kira 3.0 km.

Objektif pembinaan Surau AL-Ehsan di Anjung Bemban Maju, Batu Gajah ini adalah untuk kesatuan umat dan penduduk Islam, tempat penjalinan silaturrahim dan sumber rujukan kepada masyarakat setempat. Apabila tertegaknya surau ini, ia akan jelas menunjukkan bahawa telah ada suatu kumpulan masyarakat Islam yang bersatu, berinteraktif dan saling bekerjasama.

Dengan keperluan semasa yang mendesak di kawasan perumahan di  Anjung bemban Maju ini yang mempunyai lebih daripada 100 buah keluarga Islam, fungsi atau peranan surau Al-Ehsan ini perlu diperkembangkan, bukan semata-mata tertumpu untuk kegiatan ibadat khusus seperti untuk bersolat berjemaah malah ianya diyakini menjangkau lebih daripada itu. Surau Al-Ehsan perlu dan akan memainkan peranan yang lebih besar dengan menjadi nadi yang mencorak kehidupan harian masyarakat Islam secara khususnya di taman perumahan ini.